Ina adalah laman backup.
Sila ke Laman utama di

http://paspb2.blogspot.com

Tuesday, March 16, 2010

MB Kedah nafi laporan blog


ALOR SETAR , 16 Mac : Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan laporan sebuah blog yang mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kedah Corporation Berhad (KCB), Akashah Ismail meletak jawatan kerana dikaitkan dengan isu pelaburan pembalakan RM4 juta di Papua New Guinea yang dikatakan mengalami kerugian.

“Saya tidak terima apa-apa surat peletakan jawatan daripada beliau sehingga kini. Jika benar beliau meletak jawatan, beliau perlu menghantar surat itu kepada saya kerana saya adalah Pengerusi Kedah Corporation Berhad,” katanya.

Azizan berkata, dakwaan blog itu, yang mengaitkan peletakan jawatan Akashah dengan isu pelaburan itu juga tidak diketahui kesahihannya.

“Saya tidak pasti adakah ianya saling berkait antara satu sama lain. Biarlah dibuat siasatan terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Akashah didakwa meletak jawatan gara-gara dikaitkan dengan isu pelaburan pembalakan RM4 juta di Papua New Guinea yang dikatakan mengalami kerugian. KCB adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri (GLC).

Azizan berkata, Kerajaan Negeri telah melantik sebuah Jawatankuasa GLC untuk membuat siasatan terperinci terhadap mana-mana GLC yang bermasalah.

“Tunggu sahaja laporan siasatan daripada Jawatankuasa GLC. Saya serahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk menyiasat dan membuat penilaian. Saya akan dedahkan hasil siasatan itu apabila masanya tiba,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersikap terbuka dan telus dalam perkara ini dan tidak akan menyembunyikan mana-mana penyelewengan yang berlaku di negeri ini.

“Saya tidak boleh buat keputusan sekarang, semuanya perlu dikaji terlebih dahulu, terutama dakwaan yang mengaitkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengulas mengenai pelaburan yang dikatakan mengalami kerugian di Papua New Guinea, Azizan berkata, untung rugi dalam sesebuah pelaburan adalah rencah ekonomi dan bukannya sesuatu yang dianggap pelik.

“Tidak semestinya semua pelaburan itu menguntungkan. Ada yang rugi dan ada yang untung. Itu senario biasa dalam pelaburan. Tetapi jika kerugian berlaku disebabkan oleh penyelewengan, itu perkara lain,” katanya.

Azizan berkata, Kerajaan Negeri kini membuat penilaian semula terhadap semua GLC yang didapati tidak konsisten, tidak aktif, serta bermasalah dan akan sedaya upaya membantu. Namun terdapat beberapa GLC yang terpaksa diberi suntikan modal oleh Kerajaan Negeri kerana tidak mampu meneruskan operasi.

“Kita telah kenal pasti beberapa GLC yang lemah, termasuk melanggar prinsip pengurusan, peraturan dan undang-undang Akta Syarikat. Berikutan itu, kita akan membuat penyusunan semula dan kemungkinan menghentikan mana-mana GLC yang tidak aktif dan sebagainya,” katanya.

Jawatankuasa GLC dianggotai Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Puat Mohd Ali; Penasihat Undang-Undang, Tuan Anas Ahmad Zakie dan bekas Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Syed Zain Syed Abdullah.

Terdapat 120 buah GLC di Kedah dalam pelbagai sektor yang dilantik sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.SH

No comments:

testing

tajuk


testing123