Ina adalah laman backup.
Sila ke Laman utama di

http://paspb2.blogspot.com

Saturday, March 27, 2010

Kerajaan PR Selangor bina 400 unit lagi rumah PPRT


PUCHONG , 27 Mac :
Sebanyak 400 lagi unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Projek Kerajaan Prihatin bakal dibina melalui peruntukan RM6 juta oleh Kerajaan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier A Jayakumar berkata, pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan setahun daripada golongan berpendapatan rendah sama ada yang memiliki tanah atau pun sebaliknya.

Bagaimanapun beliau berkata, unit rumah hanya mampu dibina melalui peruntukan yang ada namun menjelaskan pertimbangan pertambahan bajet bagi projek itu akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini selepas melihat kedudukan kewangan negeri.

Kata beliau, bagi pemohon yang memiliki tanah, rumah dilengkapi tiga bilik itu dibina di kawasan tanah kepunyaan masing-masing.

“Manakala bagi yang tidak mempunyai tanah dan tergolong miskin tegar, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebuah kawasan di daerah mereka tinggal untuk pembinaan rumah bernilai RM30,000 itu.

“Selain ia diberikan kepada mereka yang tidak mampu membeli dan memiliki rumah sendiri, pemberian rumah PPRT turut membabitkan masyarakat orang Asli yang kebanyakannya menghuni di Hulu Selangor dan Kuala Langat,”katanya ketika Majlis Penyerahan Kunci kepada 16 penerima kemudahan di bawah Kerajaan Prihatin tersebut, di Kampung Kuala Sungai Baru, petang semalam.

Xavier berkata, kriteria bagi permohonan itu akan dilihat berdasarkan pendapatan isi rumah, jenis pekerjaan dilakukan, keadaan rumah asal dan paling penting mempunyai tanah sendiri.

“Mereka ini akan membuat permohonan melalui Pejabat Tanah masing-masing sebelum ia dilanjutkan kepada agensi berkaitan.

“Sebagai Exco saya lihat ramai yang mendapat bantuan perumahan ini dalam kalangan orang Melayu kerana mereka biasanya mempunyai tanah milik sendiri,”katanya dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Norhesni Ismail.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Xavier mencadangkan pihak bank menyediakan skim ansuran perumahan khas kepada golongan miskin yang mendapat unit pangsapuri kos rendah dalam program setinggan sifar kerajaan terdahulu .

Katanya, melalui skim itu, bank boleh mengadakan program pinjaman perumahan dua generasi dengan memanjangkan tempoh pembayaran balik pinjaman dan membolehkan anak kepada pemilik menyambung bayaran ansuran apabila mereka sudah bekerja.

“Meskipun saya difahamkan, kadar faedah dikenakan mungkin tinggi, namun pemilik rumah pangsa itu tidak akan berasa terbeban dengan kadar ansuran yang rendah setiap bulan.

“Ia berikutan saya difahamkan ribuan unit rumah kos rendah kini dilelong apabila pemilik tidak mampu membayar ansuran kepada pihak bank,”katanya.

Xavier berkata, daripada isu itu, akhirnya rumah dilelong dijual kepada mereka yang berpendapatan sederhana,namun gagal menjadi milik mereka yang miskin.

Kata beliau, cadangan itu mungkin mampu menyelesaikan masalah yang timbul membabitkan golongan berpendapatan rendah kerana selain membayar ansuran rumah mereka perlu membuat pembayaran lain juga.

“Apabila sudah menghuni sesebuah rumah, kebanyakan mereka yang berpendapatan bawah RM600 ini perlu membayar bil air, elektrik malah terpaksa membayar bil penyelenggaraan.

“Oleh itu, kadar bayaran ansuran yang rendah mungkin sedikit sebanyak boleh menyelesaikan masalah itu,”katanya.SH

No comments:

testing

tajuk


testing123