Ina adalah laman backup.
Sila ke Laman utama di

http://paspb2.blogspot.com

Wednesday, March 3, 2010

PKR tidak akan lumpuh


KOTA BHARU , 3 Mac : Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan lumpuh di sebalik tindakan beberapa ahli serta pemimpinnya yang bertindak keluar parti itu baru-baru ini, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution.

Malah, dalam masa sama beliau turut menafikan kenyataan bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Salehuddin Hasyim yang mendakwa terdapat 10 Ahli Parlimennya akan keluar parti itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya mengetahui realiti yang berlaku kepada parti itu dan tidak menjangkakan kenyataan Salehuddin itu benar.

“Itu kenyataan Datuk Salehuddin, tetapi pemimpin tertinggi maklum mengenai perkara yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN), di sini semalam.

Sebelum ini, Salehuddin mendakwa terdapat 10 Ahli Parlimen PKR akan keluar dari parti secara berperingkat.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama atau jumlah sebenarnya wakil rakyat terbabit dengan alasan ia akan dilakukan pada masa yang sesuai.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin serta Ahli Parlimen Nibong Tebal,Tan Tee Beng yang bertindak keluar daripada parti itu baru-baru ini, tidak akan menjejaskan perjalanan parti tersebut.SH
Artikel penuh ...

Noh Omar didesak letak jawatan


SHAH ALAM, 3 Mac : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar meletakkan jawatan jika terus gagal menangani isu bekalan dan harga ikan negara dengan baik.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, desakan itu dibuat berikutan tindakan kerajaan yang menguatkuasakan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) bermula 1 Mac lalu.

Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan kos meningkat dan ia menjadi faktor utama kepada kenaikan harga ikan.

“Bebanan kos yang dihadapi ini memberikan impak maksimum kepada rakyat apabila harga ikan naik mendadak.

“Ini menjejaskan kualiti pendapatan rakyat dan menyebabkan kesan rantaian kenaikan harga berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin terhadap kebajikan rakyat akibat kenaikan berterusan satu persatu bahan makanan rakyat yang semakin gagal dikawal dengan baik oleh kerajaan.

Katanya, AMK Selangor menggesa agar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri berkenaan diberi taraf rendah kerana gagal memahami masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan.

Mohd Ezli berkata, kesan terbesar ialah kepada rakyat keseluruhannya yang menerima kesan langsung apabila kualiti pendapatan boleh guna rakyat terjejas.

“AMK Selangor berharap Menteri berkenaan lebih prihatin dan empati sebelum melaksanakan apa-apa jua tindakan.

“Kebajikan dan kesan yang diterima oleh rakyat perlu diberi perhatian agar rakyat tidak didahulukan menjadi mangsa,” katanya.:

Dalam perkembangan berlainan, AMK Selangor turut mengutuk keras serbuan terbaru tentera dan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa.

Mohd Ezli berkata, tindakan Israel yang berhasrat memasukkan Haram Al-Ibrahimi dan Masjid Belal ke dalam senarai tapak warisan Yahudi dilihat boleh mencetuskan konflik berdarah terbaru.

Menurutnya, tindakan berkenaan jelas mempamerkan usaha terancang Israel yang ingin mengubah identiti kota suci itu.

“AMK Selangor mendesak kerajaan Malaysia agar segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan memainkan peranan proaktif membawa usul ini ke Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, AMK Selangor prihatin dengan perkara itu dan berharap seluruh rakyat di negara ini daripada pelbagai fahaman agama serta berbilang bangsa berdiri dengan satu suara lantang menentang usaha terkutuk rejim Zionis Israel.

Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan menggerakkan usaha di peringkat antarabangsa bersama-sama dengan negara-negara lain untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis.

“Kita berharap dunia antarabangsa mengenakan tindakan tegas dan keras terhadap Israel yang berterusan menzalimi masyarakat Palestin dan mencemar tempat-tempat suci di Baitul Maqdis,” katanya.
Artikel penuh ...

Kumpulan 10 nafi khianati parti


PETALING JAYA, 3 Mac: Spekulasi empat ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikaitkan keluar parti, Azan Ismail, Yusmadi Yusoff, S. Manikavasagam dan Datuk Rashid Din terjawab pagi ini apabila menegaskan tidak akan berbuat demikian.

Penegasan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan 11 Ahli Parlimen PKR yang lain pagi tadi bahawa mereka terus bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut sekaligus menafikan khabar angin yang disebarkan oleh beberapa blog, kononnya akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen PKR akan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

"Kami (selaku) Ahli Parlimen yang tidak berjawatan utama dalam parti (PKR) sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sebagaimana yang dispekulasikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab," jelas beliau selaku jurucakap bagi kesemua Ahli Parlimen terbabit.

Beliau menyifatkan spekulasi tersebut didalangi oleh Umno BN kerana gusar dengan gelombang kedua sokongan rakyat pada kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendakwa beberapa kepemimpinan Umno BN cuba mengumpan beberapa Ahli Parlimen PKR yang tidak memegang jawatan penting supaya meninggalkan parti itu.

"Untuk memecahkan keutuhan Keadilan (PKR) bersama-sama Pakatan Rakyat bermula dengan mengumpan beberapa Ahli Parlimen supaya menjadi wakil rakyat bebas."

Ujarnya lagi, tindakan Umno itu mungkin bertujuan melemahkan lagi kepemimpinan pembangkang, terutama ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang berdepan dengan cabaran fitnah, iaitu kes liwat.

Dengan tercetusnya pelbagai spekulasi tersebut dalam PKR, menurut beliau, Umno berjaya mengalih tumpuan rakyat dari melihat realiti sebenar ekonomi tanah air yang kian merosot, di samping beberapa isu kepincangan pengurusan dalam kerajaan Persekutuan sendiri.

Ditanya tentang kedudukan Zulkifli Nordin, beliau berharap Ahli Parlimen Bandar Kulim Baru itu tidak mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharain Hashim yang mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi calon bebas.

Yang menyertai Kamarul di Ibu Pejabat PKR adalah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Ketereh, Ab. Aziz Ab Kadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din.

Manakala Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian walaupun tidak menyertai Kamarul, namun dimaklumkan tetap bersama PPR dan Pakatan Rakyat.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mohsin Fazli, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai turut dispekulasikan untuk meninggalkan PKR lalu menjadi wakil rakyat Bebas, tetapi sehingga kini tiada mana-mana pihak boleh menjelaskan tentang kedudukan wakil rakyat itu.
Artikel penuh ...

Ahli-ahli Parlimen PAS sepakat terus melaksanakan amanah rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Mac : Ahli-ahli Parlimen PAS dengan tegasnya menyatakan sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Satu kenyataan Sekretariat MP PAS yang dikeluarkan di sini, hari ini menyatakan mereka sedar bahawa rakyat mengundi mereka kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.

Oleh itu, mereka kesal dengan tindakan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan itu.

Mereka juga kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha di kalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini.

Mereka turut menyeru kepada masyarakat untuk bersama-sama mereka menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.

“Kami juga ingin menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar kenyataan itu.

Ahli Dewan Rakyat PAS terdiri daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa), Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Puan Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (Baling), Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu), Mohd Abdul Wahid Endut (Kuala Terengganu), Ustaz Muhammad Husin (Pasir Puteh), Khalid Samad (Shah Alam), Che Uda Che Nik (Sik), Ustaz Firdaus Jaafar (Jerai), Ustaz Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pendang).

Manakala ahli Dewan Negara terdiri daripada Senator Muhammad Yusof Husin (Kedah), Senator Ahmad Rosli Ibrahim (Kelantan), Senator Mumtaz Md Nawi (Kelantan).
Artikel penuh ...

Tuesday, March 2, 2010

Ada lagi ‘Fairus’, UMNO ambillah

GEORGETOWN, 2 Mac : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada UMNO kerana ‘mengutip’ bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairuddin yang sudah tidak diperlukan lagi oleh parti itu.

Naib Pengerusi PKR negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihaknya sama sekali tidak terkesan oleh penyertaan Mohamad Fairus dalam UMNO malah berterima kasih kepada parti itu kerana “mereka telah membantu menyelesaikan masalah kami dengan menerima Fairus masuk parti itu.”

“PKR sudah tidak perlukan Fairus. Kami sebenarnya gembira apabila dia menyertai UMNO. Selama ini pun dia tidak berfungsi, hanya tidur saja. Tidur ketika mesyuarat, ketika berbincang, ketika orang beri penerangan. Jadi elok sangatlah dia masuk UMNO,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Mohamad Fairus yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan ADUN Penanti pada 8 April 2009, mengumumkan keluar PKR dan menyertai UMNO dalam satu perhimpunan persatuan silat gayung yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur.

Abdul Malik berkata, Mohamad Fairus sekadar hendak ‘bermain’ dengan situasi yang sedang bergolak dalam PKR sekarang.

“Selepas apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, saya lihat dia seolah-olah ambil kesempatan melakukan perkara yang sama untuk serang PKR.

“Ingin saya tegaskan bahawa tindakan beliau (keluar parti) sedikit tidak menjejaskan parti malah kami di PKR lebih gembira kerana beliau tidak berfungsi dalam parti, dia hanya tidur saja, tidur ketika mesyuarat, dalam sesi perbincangan dan penerangan. Oleh itu, biarlah dia pergi, tak rugi pun malah kami (PKR) bertambah untung,” katanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada UMNO kerana ambil orang sepertinya (Fairus) yang tidak diperlukan oleh parti dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada UMNO untuk menguruskan orang seperti Fairus.

“Oleh itu, kepada UMNO, selepas ini jika ada lagi individu seperti ini yang tidak diperlukan, ambillah. PKR tidak memerlukan orang yang tidak berpegang kepada prinsip parti dan yang tidak kuat seperti mereka,” katanya.

Sambil mengakui beliau akan sentiasa setia dengan PKR walau apa pun terjadi, Abdul Malik mendakwa ada ‘dalang’ yang merancang semua yang berlaku dalam parti itu.

“Saya tidak menolak bahawa ada ‘dalang’ di sebalik apa yang terjadi dan saya percaya ini kerja orang sekeliling UMNO yang cuba merosakkan PKR, tapi biarlah. Mungkin Fairus rasa dia lebih bernilai dalam UMNO sebagai agen untuk serang PKR. Itu saja nilai dia. Dalam parti, dia tidak berfungsi pun sebab dia tidak boleh buat kerja, asyik tidur saja,” katanya.SH
Artikel penuh ...

Turun padang bertemu rakyat

PARIT BUNTAR 2 Mac : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini turun padang bertemu rakyat di sekitar Pekan Kuala Kurau bagi meninjau masalah yang dihadapi penduduk khususnya peniaga di kawasan itu.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Hashim serta beberapa ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS turut melawat pasar awam Kuala Kurau.

Dalam lawatannya itu, Ahli Parlimen berkenaan berjaya mengesan beberapa masalah yang dihadapi peniaga di pasar awam itu.

“Antara masalah yang dihadapi peniaga ialah tandas di pasar awam itu sudah dua bulan tidak boleh digunakan kerana ia berkunci.

“Ini menimbulkan masalah kepada peniaga yang ingin menggunakannya. Mereka terpaksa menumpang tandas lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Mujahid berkata, beliau mahu Majlis Daerah Kerian (MDK) mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu kerana ia adalah keperluan penting peniaga di situ.SH
Artikel penuh ...

Reaksi pemimpin PR Perak mengenai tindakan Mohd Fairus

IPOH ,2 Mac : Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai UMNO kelmarin kerana dikatakan hilang kepercayaan ke atas pucuk pimpinan dan ia semakin memuncak berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, menimbulkan reaksi yang berbeza dalam kalangan pemimpin-pemimpin dari negeri ini.

Itu adalah hak beliau untuk pergi ke parti berkenaan. Kenyataannya yang menyatakan pucuk pimpinan tidak konsisten adalah satu tanggapan beliau sahaja.

Kami di PKR tetap utuh dan teruskan perjuangan meskipun menghadapi tekanan hebat daripada ahli-ahli yang lompat parti, kami tetap bersabar dan teruskan dengan apa jua cabaran mendatang.

Memang tindakan Fairuz memberi kesan, tetapi itu adalah sikap mereka yang tidak sabar, kerana membuat keputusan mereka sendiri.”– Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub

Bagi pendapat saya, tujuan ahli yang melompat parti ini, bukanlah kerana hilang kepercayaan, tetapi lebih kepada hilang kepentingan. Jika mereka ini faham dan tahu apa erti perjuangan yang sebenarnya, mereka pasti tidak akan berbuat demikian.

Lagipun, jika ingin melompat parti, seharusnya dipastikan bahawa ianya adalah penghijrahan kepada yang lebih baik ataupun kepada parti yang lebih benar perjuangannya. Jelas, penghijrahannya (Fairus), adalah bersifat duniawi dan bukannya atas dasar perjuangan sebenar.

Saya juga yakin bahawa perkara sedemikian tidak mungkin berlaku dalam parti Pas, kerana semua ahlinya memahami bahawa mereka telah memilih perjuangan yang sebenar iaitu memperjuangkan dakwah Islam.” - Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussein

Saya berpendapat, sebab utama yang dikatakan oleh Mohd Fairuz kerana mahu keluar dari PKR disebabkan hilang kepercayaan ke atas pucuk pimpinan parti yang dikatakan tidak konsisten dalam mempertahankan Islam berhubung isu kalimah Allah, beliau perlu mengkaji semula perkara itu.

Kita harus mensucikan akidah kita dengan tidak menafikan wujud Tuhan lain kecuali Allah. Kalau sebagai umat Islam kita mengatakan bahawa hanya orang Islam sahaja boleh menyebut Allah, secara tidak langsung kita mengakui bahawa wujudnya Tuhan lain.

Ini yang dibimbangkan dengan kenyataan Mohd Fairuz dan kenyataan yang dibuat oleh PAS itu telah dipersetujui oleh PKR. Sebabnya di dalam Al-Quran sendiri tidak ada nas yang menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Itulah kedudukan yang paling sahih.

Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada beliau supaya mengamati semula apa yang dikatakan beliau itu supaya ia tidak menyimpang daripada akidah sebenar sebagai seorang Islam,”
- Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.SH
Artikel penuh ...

testing

tajuk


testing123